top of page

OCEAN

Tajuk buku : Ocean

Pengarang : Beverly Mc Millan dan John A. Musick

Buku yang telah saya pilih untuk diulas bertajuk “Ocean”. Tajuk yang ringkas, padat tetapi kandungannya sangat meluas. Walaupun penulis tidak membincangkan sesuatu topik secara mendalam, tetapi banyak topik-topik yang berkaitan dengan laut berjaya disentuh oleh penulis. Hal ini menjadikan buku ini bahan bacaan yang ringan dan mudah difahami serta sesuai dengan tahap pemahaman kanak-kanak. Perbincangan buku ini merangkumi semua aspek tentang laut termasuklah pembentukan laut, teknologi yang digunakan untuk mengkaji lautan, kesan aktiviti manusia terhadap ekosistem laut dan kepelbagaian biodiversiti hidupan laut berdasarkan kawasan habitatnya. Penerangan yang ringkas seperti proses kitaran air yang hanya diterangkan menggunakan gambar rajah amat memudahkan pembaca terutamanya kanak-kanak memahami konsep tersebut. Secara tidak langsung, fakta-fakta yang pelbagai dan menarik ini akan menyebabkan pembaca memilih buku “Ocean” kerana teruja untuk meneroka perkara-perkara baharu tentang laut.

Buku ini dikarang oleh penulis yang sangat berpengalaman iaitu Beverly Mc Millan dan suaminya John A. Musick. Beverly Mc Millan sememangnya penulis sains dan pengarang buku kanak-kanak yang terkenal. Manakala John A. Music pula seorang penulis yang berpengetahuan tinggi tentang marin. Beliau mempunyai kelulusan PhD dari Universiti Havard dan terkenal sebagai salah seorang pakar dalam bidang Jerung dan ekologi laut diperingkat antarabangsa. Justeru, kesahihan fakta-fakta yang ditulis dalam buku ini diyakini tepat kerana penulis sememangnya pakar dan mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang ekologi laut. Secara tidak langsung pembaca akan lebih yakin untuk mengaplikasikan fakta tersebut dan menjadikannya sebagai sumber rujukan.

Reka bentuk kulit buku ini amat cantik dan mengujakan orang untuk membacanya. Dengan tulisan tajuk yang bersaiz besar berwarna putih dan kontra dengan warna latar belakang biru hitam menfokuskan pembaca kepada tajuk “Ocean” dan ia sangat jelas kelihatan walaupun dari jauh. Hal ini menyebabkan orang ramai akan tertarik untuk mengambil buku ini dan membacanya. Disamping itu, ilustrasi gambar penyu yang besar beserta ikan yang mempunyai lampu dikepala akan membuatkan orang tertanya-tanya ikan apakah yang mempunyai lampu suluh? Secara tidak langsung ia akan membangkitkan lagi rasa ingin tahu yang tinggi dalam diri setiap orang yang melihatnya. Unsur-unsur seperti inilah yang boleh mendorong orang ramai memilih “Ocean” sebagai bahan bacaan mereka.

Persembahan kandungan buku ini juga sangat menarik perhatian pembaca terutamanya kanak-kanak. Hal ini kerana buku ini banyak menggunakan ilustrasi gambar 3D dengan kepelbagaian ton warna yang merangsang ingatan daftar sensori pembaca daripada penglihatan dan sentuhan seterusnya memudahkan kanak-kanak memahami dan membayangkan keadaan sebenar laut tersebut. Selain itu, ton warna dan gambar yang digunakan juga dapat mempengaruhi emosi pembaca. Sebagai contoh, untuk topik “Ocean Under Threat” warna gelap digunakan untuk menggambarkan prasaan takut dan cemas. Terdapat juga gambar burung yang disalut penuh dengan minyak hitam angkara pembuangan minyak dilaut dapat merangsang perasaan simpati pembaca ketika melihatnya. Secara tidak langsung unsur-unsur ini akan membuatkan pembaca tidak bosan dan ingin terus membaca buku ini hingga keakhirnya.

Tambahan pula, organisasi kandungan buku ini sangat tersusun dan mempunyai aliran perkembangan idea yang sangat baik. Hal ini penting bagi membantu pembaca memahami serta membuat perkaitan antara fakta yang telah dibincangkan. Buku ini menggunakan pendekatan deduktif dimana penulis membentangkan konsep-konsep umum berkaitan dengan laut pada bahagian pertama iaitu (Introduction) seperti pembentukan laut, hubungan antara laut dan perubahan iklim, faktor-faktor yang mengancam hidupan laut dan ciri-ciri perbezaan antara habitat dalam laut. Setelah itu barulah penulis memberi tumpuan kepada kepelbagaian hidupan laut mengikut kawasan habitatnya pada bahagian kedua (InFocus)seperti pantai, muara sungai, dan terumbu karang. Justeru, bahagian pertama menjadi asas pemahaman pembaca sebelum berpindah ke bahagian kedua. Ia juga membantu pembaca membuat perkaitan seperti mengapakah speseis ikan yang tinggal di lautan tropika tidak terdapat di lautam artik. Hal ini kerana sejak awal lagi penulis telah menggariskan ciri-ciri perbezaan antara habitat-habitat tersebut serta adaptasi dan migrasi hidupan laut. Justeru, organisasi kandungan yang sangat tersusun dalam buku ini sangat membantu pembaca untuk memahami fakta yang ingin disampaikan oleh penulis.

Namun begitu, buku ini mempunyai kelemahan dari segi sumber rujukan. Walaupun penulis mempunyai pengetahuan yang mantap dalam bidang ekologi marin tetapi beliau masih gagal menunjukkan bukti pemerolehan maklumat dalam pembinaan buku “Ocean” ini kerana tidak terdapat satu pun sumber rujukan atau bibiliografi yang dilampirkan dalam buku ini. Hal ini memberi ruang kepada pembaca untuk mempersoalkan kebenaran fakta-fakta yang diketengahkan oleh penulis. Secara tidak langsung, buku ini tidak boleh dijadikan sumber yang tepat untuk dirujuk oleh mana-mana pihak. Kesannya, pembaca yang telah berminat terhadap ekologi laut setelah membaca buku ini tidak dapat mengkaji fakta dengan lebih mendalam kerana tidak tahu sumber sahih yang boleh dirujuk dan menyukarkan mereka untuk mendapat sumber bacaan seterusnya.

Perkara yang paling utama dalam buku ini ialah penulis berjaya memperkenalkan kepelbagaian biodiversiti hidupan laut pada masyarakat dengan cara yang menarik dan tersusun. Ilustrasi gambar habitat dan speseis hidupan laut yang ditunjukkan amat jelas, cantik dan mengagumkan pembaca. Hal ini kerana ilustrasi tersebut berjaya menggambarkan keindahan flora dan fauna laut mengikut habitat-habitatnya. Secara tidak langsung, ia akan menimbulkan rasa minat dan perasaan cintakan alam sekitar dalam diri pembaca. Setiap hidupan laut yang diterangkan, disusun mengikut habitat-habitatnya. Hal ini amat memudahkan pembaca untuk memahaminya dengan jelas dimana habitat untuk satu-satu speseis itu tinggal. Habitat tersebut merangkumi pantai berpasir, pantai berbatu, muara sungai, pantai laut, terumbu karang, hutan rumpai laut, lautan kutub, zon cahaya matahari, lautan dalam dan corong panas. Disamping itu, setiap habitat disusun mengikut kedalamannya dan dilengkapi dengan biodata ringkas seperti contoh tempat serta flora dan fauna yang ada. Hal ini membantu pembaca membezakan ciri-ciri antara habitat-habitat tersebut. Setiap speseis hidupan laut juga dilengkapi dengan penerangan pendek agar pembaca mengetahui ciri-ciri umumnya. Justeru itu, pembaca dapat menyedari betapa pentingnya ekosistem laut sebagai habitat kepada berjuta-juta flora dan fauna yang ada dan keindahannya juga dapat menambat hati pembaca untuk menyayanginya.

Buku ini juga dapat menyuntik kesedaran tentang kepentingan menjaga ekosistem laut dalam diri pembaca dari pelbagai peringkat umur. Apabila kesedaran ini berjaya diterapkan setiap individu akan menjalankan peranan masing-masing kearah mengurangkan pencemaran alam sekitar khususnya pencemaran air serta kesan aktiviti manusia terhadap ekologi laut. Hal ini sangat penting bagi menjaga kelangsungan hidup flora dan fauna laut dari diancam kepupusan. Buku ini menyentuh hati pembaca dengan memaparkan gambar-gambar kesan aktiviti manusia terhadap hidupan laut seperti burung yang disalut penuh dengan minyak hitam akibat pembuangan minyak dilautan, batu karang yang pudar warnanya akibat perubahan iklim dan suhu dunia yang meningkat. Gambar-gambar ini bukan sahaja dapat membangkitkan rasa simpati terhadap hidupan laut tersebut bahkan rasa bimbang akan kesan yang lebih teruk pada masa akan datang. Secara tidak langsung pembaca akan rasa bertanggungjawab bagi menjaga ekologi laut untuk diwariskan kepada generasi akan datang. Penulis juga ada memaparkan bagaimana sukarnya untuk mengembalikan ekosistem yang telah tercemar kepada keadaan asal. Ia bukan sahaja memerlukan kos yang tinggi serta tenaga buruh yang ramai bahkan memakan masa beberapa tahun untuk memulihkan ekosistem yang asal. Justeru ia akan membuatkan pembaca berfikir dahulu sebelum membuat sesuatu keputusan yang boleh menjejaskan alam sekitar terutamanya ekosistem laut.

Justeru, secara keseluruhan buku ini amat sesuai untuk dijadikan bahan bacaan kanak-kanak. Terutamanya bagi memberi pendedahan awal kepada mereka tentang ekologi laut. Persembahan buku yang amat menarik dan dilengkapi dengan gambar dan grafik tiga dimensi juga memudahkan kanak-kanak memahami fakta yang disampaikan dan dapat menarik minatnya terhadap ekologi laut. Semoga pendedahan awal ini dapat meningkatkan kepekaan generasi muda terhadap kepentingan ekologi laut dan mendorong mereka untuk sama-sama memeliharanya agar ekosistem laut dapat dipulihara dengan lebih baik pada maa akan datang.

Nama : Misyah Binti Zainuddin

Kelas : 4 PISMP Sains

Featured Posts
Recent Posts
Archive
Search By Tags
No tags yet.
Follow Us
  • Facebook Basic Square
  • Twitter Basic Square
  • Google+ Basic Square
bottom of page