Marine Parks of Malaysia
Dalam menyingkap ilmu berkaitan ekosistem dan biodiversiti, sebuah buku iaitu buku yang berjudul “Marine Parks of Malaysia” telah diterbitkan pada tahun 2001 oleh penerbitan bersama antara Jabatan Perikanan Malaysia Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia dengan Design Dimension Sdn Bhd. Buku ini merangkumi semua aspek habitat marin dan kehidupan yang ditemui di taman-taman perairan dan disokong oleh teks yang mudah dibaca oleh pembaca di samping mengandungi gambar-gambar yang hebat dan menarik.
Penghasilan buku “Marine Parks of Malaysia” merupakan hasil nukilan dua orang penulis iaitu Mohd Taupek Mohd Nasir dan Nor Ainy Mahyudin di mana kedua-dua mereka mempunyai kelebihan dan berpengalaman tinggi dalam bidang marin. Hal ini dapat dilihat dari jawatan yang disandang oleh Mohd Taupek Mohd Nasir yang tercatat dalam buku ini iaitu beliau merupakan seorang Pegawai Penyelidik sewaktu buku ini dihasilkan di Marine Fishery Resources Development and Management Department (MFRDMD) di mana beliau banyak membuat penyelidikan terhadap sumber perikanan. Penyusunan idea dan penekanan yang ditulis oleh beliau sangat menarik. Dengan jawatan yang disandang oleh beliau, jelaslah bahawa penulis buku ini merupakan seorang yang sangat arif dalam bidang marin sehingga mampu dan berjaya menulis buku ini. Nor Ainy Mahyudin juga merupakan seorang Pegawai Penyelidik di Ibu Pejabat Jabatan Perikanan sewaktu buku ini diterbitkan. Jawatan beliau juga tertulis di bahagian belakang buku ini. Oleh hal yang demikian, dapat dilihat penulis buku ini bukan sembarangan orang, bahkan orang yang arif dan pakar dalam bidang marin. Natijahnya, penulisan buku daripada gabungan mantap dan idea kedua-dua penulis ini menghasilkan sebuah buku yang sangat bermanfaat dan berkualiti untuk setiap pembaca oleh sebab mereka merupakan ahli yang sangat berpengalaman dalam bidang marin.
Seterusnya, buku ini merupakan buku yang telah mendapat pengiktirafan dan saranan oleh Perdana Menteri Malaysia pada tahun buku ini diterbitkan itu iaitu Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad. Dalam buku ini, terdapat ruangan kata oleh beliau di mana beliau menyatakan saranan beliau menggalakkan pembacaan buku ini. Antara yang menarik dikatakan oleh beliau ialah “This book reperesents a concerted effort by the government and the corporate sector to form a smart relationship in educational and publicity work. The spectacular beauties hidden beneath the waves are very well illustrated in this book”’. Seperti yang diketahui, Dr. Mahathir merupakan seorang ahli ekonomi. Beliau juga merupakan seorang ‘ulat buku’ yang gemar membaca. Berdasarkan profisien beliau yang berlatar belakangkan ekonomi, beliau mampu berbicarakan mengenai kehidupan marin setelah membaca buku ini. Jelaslah, buku ini mampu memberikan impak yang mendalam kepada sesiapa yang membacanya dan dapat menjadi wadah kepada pembaca untuk mengetahui dan meninjau tentang kecantikan kehidupan marin Pada masa yang sama, pembaca dapat memanifestasikan dan meningkatkan kesedaran dalam usaha memelihara dan memulihara persekitaran marin. Selain itu, Menteri Pertanian Malaysia iaitu Datuk Mohd. Effendi bin Norwawi juga turut mengiktiraf buku ini sebagai satu medan untuk generasi memperoleh pengetahuan mengenai taman marin. Hal ini adalah kerana menurut tidak semua orang berpeluang dan merasai pengalaman menikmati kehidupan di dasar lautan seperti yang dikatakan belia dalam buku ini. Justeru, melalui penerbitan buku ini, kecantikan dan keunikan hidupan di dasar lautan dapat dikongsi bersama-sama di samping membantu meningkatkan pengetahuan mengenai terumbu karang dan persekitaran marin. Datuk Sri panglima Osu Bin Haji Sukam iaitu Menteri Besar Sabah juga mengucapkan tahniah kepada penulis, jurugambar dan penerbit buku ini pada ruangan hadapan buku ini kerana menghasilkan buku yang hebat mengenai taman marin ini. Intihanya, terbukti buku ini mendapat sokongan yang padu oleh pihak kementerian di mana wajarlah untuk kita sebagai rakyat membacanya lebih-lebih lagi para naturalis yang cinta akan alam.
Dari segi penyusunan isi kandungan pula, buku ini terbahagi kepada lima bahagian yang disusun begitu terancang dan sangat sesuai serta mudah difahami oleh setiap yang membacanya. Hal ini adalah kerana tajuk utama untuk setiap bahagian adalah sangat jelas dan disusun secara teratur. Misalnya dalam buku ini dimulakan dengan bahagian pertama iaitu pengenalan. Pengenalan yang dikemukan penulis dalam buku ini adalah sangat menarik perhatian pembaca di mana mencakupi info menarik mengenai taman-taman marin dan menceritakan keistimewaan pulau yang dapat membuatkan pembaca ingin mengetahui lebih lanjut mengenai isi kandungan berikutnya. Seterusnya, dapat dilihat penulis menceritakan tentang biodiversiti di Taman Marin di Malaysia pada bahagian kedua. Tajuk bahagian kedua ini adalah amat sesuai kerana penulis mendedahkan terlebih dahulu mengenai biodiversiti di taman marin tamsilannya flora dan fauna di marin, ulat marin,moluska, reptilia, ikan dan mamalia yang terdapat di marin sebelum menceritakan dengan lebih lanjut mengenai taman-taman Marin di Malaysia pada bahagian yang ketiga. Oleh itu, apabila didedahkan mengenai biodiversiti taman marin secara umum, pembaca dapat mengetahui secara menyeluruh sebelum didedahkan tentang biodiversiti yang terdapat pada setiap taman marin yang berbeza-beza di Malaysia. Untuk bahagian ketiga yang bertajuk Taman-taman Marin di Malaysia pula dapat dilihat penulis membuat generalisasi iaitu penulis menampilkan sebuah peta besar negara Malaysia yang menandakan setiap taman marin yang terdapat di pulau-pulau di Malaysia. Justeru, pembaca dapat memperoleh pengetahuan dan gambaran awal mengenai taman-taman marin di Malaysia secara umum melalui sebuah peta yang telah digarap oleh penulis dalam buku ini sebelum mengetahui dengan lebih spesifik mengenai setiap taman-taman marin yang terdapat di Malaysia. Sebagai contoh, Taman Marin Pulau Redang, Taman Marin Pulau Perhentian dan Taman Marin Pulau Tioman. Hal ini menunjukkan penulis mengetengahkan pendekatan deduktif kepada pembaca dengan menamakan semua taman marin yang terdapat di Malaysia pada satu peta disusuli dengan mengupas satu-persatu taman marin tersebut. Sesungguhnya, apabila pembaca melihat peta tersebut, penulis telah dapat merangsang inkuiri pembaca kerana pembaca cenderung untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai setiap satu taman marin yang terdapat pada peta tersebut dan membuatkan pembaca ingin menyelak dan membaca halaman-halaman berikutnya mengenai taman-taman marin yang ingin disampaikan penulis. Kemudian, diikuti dengan bahagian keempat dan kelima iaitu mengenai kawasan marin lain yang dilindungi dan pulau-pulau menarik untuk diterokai. Selain itu, di akhir buku ini juga terdapat dua halaman pesanan oleh penulis supaya menjaga khazanah untuk kebaikan generasi akan datang . Hal ini menunjukkan penulis juga menitikberatkan nilai-nilai yang perlu diterapkan dan diimplementasikan oleh pembaca sebagai penutup bicara isi kandungan buku ini. Oleh itu, dapat dikonklusikan bahawa penyusunan idea oleh penulis amat relevan dan sesuai untuk pembaca memperoleh dan menaakul pengetahuan mengenai kehidupan marin.
Di samping itu, dari aspek bahasa pula,penulis menyampaikan isi kandungan buku ini dalam Bahasa Inggeris. Pemilihan Bahasa Inggeris sebagai bahasa penyampai maklumat buku ini adalah amat sesuai memandangkan pembaca-pembaca dari seluruh pelosok negara juga dapat membaca buku ini lebih-lebih lagi para pelancong yang datang untuk melihat keindahan pulau di Malaysia. Secara tidak langsung, sektor pelancongan juga dapat dimajukan melalui penghasilan buku ini misalnya apabila pelancong luar negara tertarik dengan info yang disampaikan dalam buku ini kerana mereka memahami maklumat yang disampaikan oleh penulis oleh sebab bahasa tersebut ialah Bahasa Inggeris. Apabila mereka memahami bahasa dan isi kandungan yang disampaikan penulis, mereka cenderung untuk melawat tempat-tempat menarik yang dipaparkan oleh penulis dalam buku ini contohnya Taman Marin Pulau Redang yang terletak di Terengganu, Malaysia. Tambahan pula, frasa-frasa bahasa Inggeris yang digunakan dalam buku ini tidak begitu rumit di mana adalah pada tahap sederhana. Namun begitu, amat sukar untuk golongan kanak-kanak membaca dan memahami bahasa dalam buku ini kerana perbendaharaan kata yang digunakan memerlukan kemahiran pengetahuan yang tinggi contohnya frasa coral reef, pelagic dan zooplankton. Akan tetapi, di halaman akhir buku ini, terdapat ruang glosari yang dapat membantu pembaca memahami perkataan-perkataan yang agak sukar untuk difahami. Oleh hal yang demikian, tidak menjadi masalah untuk pembaca memahami bahasa yang disampaikan oleh penulis. Pada masa yang sama, pembaca dapat meluaskan penggunaan perbendaharaan kata mereka di samping meningkatkan pengetahuan Bahasa Inggeris mereka.
Sementelahan itu, persembahan yang disampaikan oleh penulis melalui buku ini adalah sangat menarik perhatian dan merangsang rasa ingin tahu pembaca. Hal ini adalah kerana buku ini mempamerkan pelbagai imej baharu yang unik yang dapat menggamit hati pembaca untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang imej tersebut. Dalam buku ini, terdapat beratus-ratus keping foto mengenai kehidupan marin dapat dilihat. Kuantiti imej yang banyak dalam buku ini menjadikan buku ini suatu yang istimewa dan menarik kerana melalui gambar yang ditunjukkan banyak pengetahuan dapat diperoleh oleh pembaca. Lebih-lebih lagi, gambar tersebut adalah gambar unik yang jarang-jarang ditemui misalnya gambar terumbu cendawan, singa laut dan tapak sulaiman. Pada setiap gambar yang ditampilkan, terdapat penerangan atau deskripsi di bawah gambar tersebut yang memudahkan pembaca mengetahui info yang ingin disampaikan oleh penulis melalui gambar tersebut. Selain itu, terdapat variasi saiz gambar dalam buku ini malah terdapat juga satu halaman penuh yang dicetak untuk ruang gambar sahaja yang membuatkan buku ini menarik. Tambahan pula, gambar-gambar yang dicetak adalah gambar yang berwarna, jelas dan berspesifikasi tinggi malah buku ini diperbuat daripada kertas licin yang tebal dan berkualiti tinggi . Hal ini memperlihatkan imej-imej yang jelas dan menarik sekaligus akan membuatkan pembaca berasa kagum dan teruja melihat kecantikan dan keunikan biodiversiti di taman marin walaupun hanya dengan melalui gambar-gambar yang ditunjukkan dalam buku ini. Jurugambar dalam penghasilan buku ini juga telah berjaya memainkan peranan yang penting kerana dapat menghasilkan gambar-gambar yang menarik dan kreatif serta menepati spesifikasi gambar yang diperlukan. Sebagai contoh, gambar mikro yang kecil diambil pada jarak yang dekat(zoom-in) dan dicetak pada saiz yang besar. Implikasinya, satu imej yang berkualiti dihasilkan dan dipaparkan dalam buku ini. Berdasarkan persembahan penulis iaitu ayat-ayat penerangan yang jelas dan padat berserta foto-foto yang terdapat dalam buku ini, penulis dapat menarik pembaca untuk merasai pengalaman sendiri berada di taman marin. Hal ini demikian kerana penulis merangsang rasa ingin tahu sehingga dapat membuatkan pembaca ingin meneroka dan merasai pengalaman sebenar melihat dunia taman marin. Di samping itu, penulis turut mempersembahkan peta sebagai sumber maklumat dalam buku ini. Peta-peta ini memudahkan pembaca untuk melihat kedudukan pulau, tanjung dan taman marin yang terdapat di Malaysia. Ini dilihat dapat membantu pembaca memahami dan melihat dengan lebih jelas tentang info yang hendak disampaikan penulis.
Tuntasnya, penerbitan buku ini amat berguna sebagai wadah untuk masyarakat mengetahui dan menyelami biodiversiti dan ekosistem di taman marin. Sesungguhnya, adalah amat wajar untuk setiap insan membaca buku ini. Setiap yang membaca buku ini pastinya akan berasa kagum akan keindahan dan keunikan khazanah dasar lautan yang diciptakan Tuhan. Di samping itu, terdapat lebih kurang 23 bahan rujukan yang dilampirkan di halaman terakhir buku ini sebagai maklumat tambahan bagi mengukuhkan pengetahuan mengenai taman marin dan kehidupan dasar lautan. Secara total, kedua-dua penulis telah menggarap buku ini dengan tersusun dan menarik. Walaupun terdapat sedikit kesalahan ejaan,namun kesilapan ini tidak mencacatkan keseluruhan isi kandungan. Konklusinya, gabungan lima bahagian yang dibincangkan oleh kedua-dua penulis dalam buku ini tidak mendatangkan masalah kepada pembaca untuk memahami dan meningkatkan ilmu pengetahuan konsep biodiversiti dan ekosistem di taman marin.
DISEDIAKAN OLEH :
FATIN FARHANIM BINTI MAT KHAIR
4 PISMP SAINS (930523-07-5206)