top of page

Impact Techniques in the Classroom


Guru-guru kerap menghadapi masalah pengurusan bilik darjah yang memenatkan mereka. Mereka menghabiskan banyak masa pengajaran dengan membuat semua kerja kecuali mengajar. Dengan perkataan lain, guru banyak menghabiskan masa dalam kelas untuk menangani pelbagai isu sehingga tidak cukup masa untuk mengajar. Dengan “Impact Techniques in The Classroom”, Danie Beaulieu menawarkan pelbagai aktiviti yang boleh dilaksanakan secara berkumpulan atau satu kepada satu yang akan memberi ruang kepada guru untuk mengajar dan pada masa yang sama menarik minat pelajar. Aktiviti-aktiviti yang dicadangkan adalah ringkas dan mudah dilaksanakan. Buku ini yang terdiri daripada 184 muka surat dan mengandungi 88 aktiviti yang menarik. Aktiviti-aktiviti ini telah direkacipta berdasarkan pengetahuan tentang bagaimana otak dan ingatan kita berfungsi. “Impact Techniques in The Classroom” secara tidak langsung membolehkan pelajar mengasimilasi pengetahuan baru dengan lebih cepat dan mendalam.

Guru dapat memilih aktiviti mengikut umur, jantina dan tujuan aktiviti. Aktiviti juga boleh diadaptasi dengan persekitaran pembelajaran. Aktiviti-aktiviti disusun mengikut empat kategori iaitu Impact Techniques menggunakan objek, Impact Techniques menggunakan objek tetapi memerlukan penglibatan pelajar secara aktif, Impact Techniques menggunakan kerusi dan Impact Techniques menggunakan pergerakan. Impact Techniques menggunakan objek mencadangkan kaedah ringkas menggunakan pelbagai objek yang diperolehi daripada persekitaran untuk menangani masalah pelajar atau masalah dalam bilik darjah. Objek yang digunakan adalah objek yang mudah seperti bateri, klip kertas, balang kaca, gambar, duit,

kotak, cermin dan lain-lain. Impact Techniques menggunakan objek tetapi memerlukan penglibatan pelajar secara aktif menawarkan aktiviti tambahan tetapi kali ini memerlukan penglibatan pelajar dan guru yang lebih tinggi. Impact Techniques menggunakan kerusi mencadangkan pelbagai aktiviti menggunakan objek yang sentiasa ada dalam bilik darjah iaitu kerusi. Semua aktiviti dalam kategori ini memerlukan penggunaan satu atau beberapa kerusi. Impact Techniques menggunakan pergerakan mencadangkan aktiviti yang berdasarkan prinsip kinestatik. Semua aktiviti di bawah kategori ini memerlukan pelajar bergerak atau melakonkan sesuatu dan hampir tidak memerlukan sebarang objek untuk pelaksanaannya. Banyak daripada teknik-teknik yang dihuraikan adalah untuk pengurusan bilik darjah, yang lain memberi fokus kepada perubahan sikap atau atitud pelajar dan ada juga teknik-teknik yang direkacipta khas untuk menangani pelajar yang menghadapi masalah. Apa yang nyata ialah semua teknik-teknik ini membantu mengembangkan kecerdasan emosi pelajar seperti kawalan diri, empati dan motivasi kendiri.

Sebagai rumusan, buku ini amat sesuai untuk semua kategori tenaga pengajar sama ada guru pelatih praktikum, pensyarah di Institut Pendidikan Guru, guru sekolah rendah mahupun guru sekolah menengah, yang ingin membawa perubahan dalam bilik darjah mereka supaya pelajar berminat dan dapat mengikuti pengajaran mereka. Aktiviti-aktiviti yang dicadangkan membantu guru menangani pelbagai isu dan masalah dalam bilik darjah supaya guru ada lebih banyak masa untuk mengajar. Aktiviti-aktiviti juga mudah tetapi menyeronokkan dan memberi faedah yang besar kepada pelajar. Pada pendapat saya, buku ini juga amat sesuai untuk semua tenaga pengajar yang juga merupakan mentor. Aktiviti-aktiviti dalam buku ini

amat sesuai dilaksanakan dan dibincangkan dalam sesi mentor-mentee untuk membina dan membentuk akhlak dan perwatakan pelajar.

Buku ini ditulis dalam gaya bahasa yang mudah difahami. Paparan aktiviti menarik. Setiap aktiviti disertai dengan tujuan aktiviti dan mod aktiviti sama ada secara seluruh kelas atau individu. Di bahagian hadapan buku ini terdapat matriks rujukan mudah yang amat membantu seorang guru mencari aktiviti yang sesuai untuk sesuatu isu dengan mudah dan cepat.

Ulasan Oleh : PARI MALARAN I SIVASU BRAMAN IAM

Jabatan Matematik

Featured Posts
Recent Posts
!
Archive
Search By Tags
No tags yet.
Follow Us
  • Facebook Basic Square
  • Twitter Basic Square
  • Google+ Basic Square
bottom of page