Essentials Of Ecology
Essentials Of Ecology sebuah buku yang ditulis oleh G. Tyler Miller, JR. Pada muka surat yang pertama, penulis hanya menyatakan pekerjaannya iaitu sebagai presiden di Earth Education and Research. Penulis tidak menyatakan tentang pengalaman dan pendidikannya dalam bidang sains alam sekitar dan penglibatannya dalam penulisan. Tanpa maklumat seperti ini, pembaca tidak mengenali penulis serta kurang keyakinan untuk membaca bukunya. Namun begitu, beliau menulis senarai individu yang terlibat dalam penghasilan buku tersebut. Contohnya, Lester R. Brown, seorang presiden di Institut Polisi Bumi, Garret Hardin, professor emeritus of human ecology di university California, Lester W. Milbrath, pengarah program penyelidikan mengenai persekitaran dan kemasyarakatan di State University di New York, Donald Worster seorang sejarawan alam sekitar dan menjadi professor sejarah Amerika di Universiti Kansas dan ramai lagi. Mereka yang terlibat mempunyai pengalaman dan kepakaran bukan sahaja dalam bidang alam sekitar tetapi dalam sejarah dan penyelidikan alam sekitar serta terlibat secara langsung dengan syarikat yang bertanggung jawab mengurus dan menjaga alam sekitar seperti National Plant Center of the USDA’s Natural Resource Conservation Center. Hal ini menjadikan pembaca yakin untuk membaca hasil tulisannya kerana beliau membuat kolaborasi dengan pakar dalam ilmu ekologi alam sekitar.
Buku ini menarik perhatian untuk diambil dan dibaca kerana persembahan kulitnya yang menarik minat pembaca. Pada muka hadapan, gambar persekitaran sebuah tasik yang bersih memenuhi kulit hadapan buku tersebut memadai untuk menarik perhatian pembaca walaupun tajuknya hanya bersaiz kecil pada bahagian atas muka hadapan., Menariknya buku ini, pada bahagian kulit belakang pula terdapat ringkasan buku dimana ia disampaikan dalam bentuk gambar bukan penerangan dengan ayat yang panjang. Terdapat dua gambar yang ringkas iaitu gambar pertama berkaitan empat prinsip kitaran iaitu biodiversiti, pengawalan populasi, kitaran nutrien dan keperluan tenaga matahari sebagai panduan manusia. Hal ini dapat meningkatkan keinginan pembaca untuk mengetahui bagaimana setiap aspek tersebut berhubungkait antara satu sama lain. Sedah tentu ia akan dibincangkan dalam buku dengan lebih mendalam, maka pembaca berasa tidak sabar untuk membaca buku ini. Gambar kedua pula satu panduan berfokuskan kepada lima sub tema tentang keperluan masyarakat yang hidup dalam alam sekitar yang mapan iaitu keperluan semula jadi, ancaman kepupusan sumber semula jadi, penyelesaian dan kepentingan individu. Secara umumnya, pembaca mengetahui tema buku ini dengan jelas dan ia membantu memudahkan pembaca untuk memilih buku yang tepat untuk dijadikan rujukan.
Persembahan buku ini sangat interaktif dan pembelajaran visual digunakan. Tambahan latihan 74 Thinking About (m/s 98,119,145), 11 How Would You Vote? (m/s 165,212,259) dan soalan pada setiap akhir maklumat pada 35 gambar menyediakan pendekatan yang interaktif kepada pembaca. Latihan-latihan aras tinggi tersebut dapat mengukuhkan pengetahuan dan konsep pembaca melalui pertanyaan yang memerlukan pembaca menganalisa bahan sejurus selepas dinyatakan. Pendekatan ini memudahkan pembaca dan dapat merangsang pemikiran pembaca untuk berfikir secara aktif sepenjang pembacaan. Selain itu, buku ini juga mempunyai ilustrasi yang direka bertujuan untuk mempersembahkan idea yang kompleks dengan cara yang mudah difahami dan pembelajaran yang dikaitkan dengan kehidupan sebenar. Contohnya, pada muka surat 62, terdapat ilustrasi tentang komponen besar dalam biodiversiti bumi dan muka surat 131, terdapat ilustrasi tentang interaksi dalam ekosistem paya masin di Amerika Syarikat. Ilustrasi yang menarik dengan warna yang pelbagai dan sesuai dapat membantu pembaca memahami sesuatu interaksi yang kompleks dengan mudah. Tambahan pula, setiap istilah baru yang diperkenalkan dan mempunyai definasi, perkataan tersebut akan ditebalkan. Dengan bantuan glosari di bahagian belakang buku penting sebagai panduan kepada pembaca jika pembaca tidak mengetahui tentang satu istilah. Pembaca dapat merujuk terus pada glosari tersebut. Contohnya, perkataan benthos, detritivore, dieback, deciduous plants dan banyak lagi. Penerangan ringkas dan padat berkaitan dengan maksud perkataan tersebut membantu pembaca memahami konsep yang disampaikan oleh penulis.
Buku ini mengandungi 12 tajuk dimana kajian kes utama menjadi permulaan untuk setiap tajuk dan ia adalah tema untuk tajuk tersebut. 29 kajian kes lain juga disertakan pada bahagian lain dalam tajuk-tajuk tersebut. Bahagian akhir setiap tajuk masih berkisar tentang kajian kes utama dimana ia berkait dengan empat prinsip pengekalan untuk setiap penyelesaian. Soalan Thinking About yang ditemui dalam setiap tajuk memberi cabaran kepada pembaca untuk membuat hubungkait antara kajian kes dan konsep serta prinsip sainsnya. Cara ini dapat melatih kemahiran berfikir secara kritis dalam menganalisis maklumat yang diberikan. Kesemua kajian kes yang diberikan disertakan dengan mendalam berkaitan masalah alam sekitar yang lebih khusus dan cadangan penyelesaian yang dilakukan. Tambahan pula, kemudahan penggunaan dipertingkatkan dengan menyediakan 17 Supplements sebagai rujukan dimana pembaca boleh menetapkan keperluan berkaitan dengan kursus mereka. Contoh-contoh yang diberikan termasuklah carta biodiversiti dan ekologi ( Supplement 4, m/s S8-S15), asas kimia (Supplement 7, m/s S27-S33) dan penebangan hutan dan kitaran nutrien dalam penyelidikan hutan (Supplement 9, m/s S36-S37). Hal ini memudahkan pembaca serta menjimatkan masa pembaca kerana jika pembaca memerlukan maklumat yang diperlukan, penulis telah menyediakankannya secara ringkas dan padat.
Secara umumnya, buku ini menerangkan tentang asas kepada keperluan konsep ekologi. Buku ini terbahagi kepada tiga bahagian utama. Bahagian pertama memaparkan masalah-masalah utama alam sekitar di bawah tajuk utama iaitu Humans and Sustainability : An overview. Di bawah tajuk ini, terdapat tajuk kecil yang membincangkan tentang masalah alam sekitar, punca masalah, dan usaha pengekalannya. Setiap konsep, maklumat dan isu yang dibincangkan dalam buku ini berkaitan dengan masalah yang diberikan. Contohnya tajuk pertama merangkumi tentang apakah tema utama buku ini. Tema ini sangat penting agar pembaca dapat gambaran yang jelas apa yang cuba disampaikan oleh penulis sebenarnya dan membantu memahami tajuk-tajuk yang seterusnya. Selain itu, dalam tajuk ini juga, penulis memberi beberapa jenis pencemaran secara umum dan apa yang perlu dilakukan terhadap pencemaran yang berlaku. Contohnya, pencemaran yang berlaku di kawasan yang berdekatan dengan kawasan bandar dan kawasan industri dan kesannya terhadap kehidupan manusia. Adakah pencemaran tersebut semakin berkurang atau semakin teruk? Penulis mengajak pembaca untuk berfikir keadaan sekeliling dan menilainya. Dengan cara ini penulisan menjadi lebih menarik dan pembaca berminat untuk membaca tajuk seterusnya kerana penulis berjaya melibatkan pembaca dalam penulisannya. Akhir sekali, pada bahagian yang pertama ini, melalui penyampaian yang mudah dan ringkas, penulis memberitahu empat prinsip saintifik iaitu pengekalan tenaga solar, biodiversiti, pengawalan populasi dan kitaran nutrien semula jadi. Empat prinsip ini diperlukan oleh pembaca sebagai panduan terhadap asas pengajaran daripada alam dalam merancang produk, ekonomi dan masyarakat kearah kemajuan. Justeru, bahagian pertama ini sebagai persediaan untuk tajuk-tajuk yang seterusnya serta pembaca biasa dengan penulisannya yang memerlukan pembaca untuk berfikir secara aktif.
Bahagian kedua pula mengandungi lapan tajuk yang merangkumi asas sains dan prinsip ekologi. Setelah pembaca diberi pendedahan tentang konsep asas ekologi, pada bahagian kedua lebih kepada komponen-komponen penting dalam ekosistem dan biodiversiti. Penulis menyusun tajuk-tajuk megikut keperluan dan keutamaan tajuk tersebut bagi memudahkan pembaca memahami penyampaiannya. Penulis mula daripada contoh-contoh sains, sistem, bahan dan tenaga dengan membawa contoh kajian kes di Pulau Easter dalam tajuk kedua. Penduduk Pulau Easter yang tidak menggunakan segala sumber di sekelilingnya seperti pokok dan tanah sehingga mengganggu populasi serta tamadun mereka terganggu kerana mereka bersaing antara satu sama lain untuk kelangsungan hidup. Banyak lagi kajian kes yang terdapat di bahagian kedua ini disediakan untuk pembaca mengetahui setiap komponen dalam ekosistem adalah penting untuk dipelihara. Contonya, makroorganisma, mikroorganisma, sumber asli penting dalam satu ekosistem. Seterusnya, apabila pembaca telah mengetahui sumber-sumber yang utama dalam tajuk sebelum ini, dalam tajuk yang seterusnya menerangkan tentang ekosistem. Untuk memudahkan pembaca faham tentang ekosistem yang terjadi secara semula jadi, penulis fokus kepada beberapa peringkat organisasi daripada zarah kepada sel kepada organisma. Gambar, ilustrasi dan carta alir yang digunakan berfokus kepada pemahaman terhadap interaksi antara organisma, populasi, komuniti, ekosistem serta melibatkan satu kawasan yang luas. Dengan cara ini, pembaca jelas setiap peringkat yang wujud dalam ekosistem kerana susunan penulisan buku ini teratur dan mudah difahami.
Selepas penerangan mengenai ekosistem, penulis ke peringkat yang lebih tinggi iaitu, bagaimana evolusi, pemilihan semula jadi serta adaptasi berlaku dalam ekosistem tersebut. Penulis membuat perkaitan dengan memberikan contoh-contoh yang menarik untuk menerangkan ketiga-tiga proses tersebut berlaku. Contohnya, evolusi yang berlaku adalah disebabkan oleh perubahan genetik kerana berlaku mutasi. Salah satu sebab berlakunya mutasi adalah persekitaran seperti radioaktiviti, X ray atau mutagen di mana ia berkaitan dengan faktor persekitaran yang berubah. Hasilnya, genetik yang baru terhasil dimana ia lebih baik daripada yang sebelumnya untuk kelangsungan hidup dan membiak dalam keadaan yang telah berubah. Berdasarkan penerangan ini, pembaca dapat memahami bagaimana sesuatau genetik boleh berubah dan dapat membuat perkaitan dengan perubahan ekosistem. Penulis berjaya membuat perkaitan antara evolusi dan adaptasi berlaku dalam satu kawasan bagi memudahkan pembaca memahaminya. Seterusnya, penulis menyentuh tentang evolusi biologi secara pemilihan semula jadi. Penulis membuat perkaitan yang mudah iaitu apabila sesuatu baka termutasi, pemilihan secara individual berlaku dan populasi yang lebih baik dapat teradaptasi dengan perubahan sekeliling yang berlaku. Untuk memudahkan dan meningkatkan lagi pemahaman pembaca, penulis sertakan gambar rajah pada muka surat S34 di Supplement 8 untuk memberikan gambaran tentang bagaimana enam spesies kingdom hidup hasil daripada proses pemilihan semula jadi. Penulis juga mengkhususkan satu tajuk berkaitan tentang cuaca dan kesannya kepada biodiversiti, Dalam tajuk ini, pembaca mengetahui mengapa biodiversiti di hutan barat berbeza dengan biodiversiti hutan di asia.
Tambahan pula, dalam bahagian yang kedua ini juga terdapat tajuk yang berkaitan seperti aplikasi ekologi populasi dimana melibatkan populasi manusia dan kesannya. Pembaca memahami bagaimana kesan kegiatan manusia dan apakah peranan manusia untuk membantu dalam mengawal kesan buruk yang berlaku. Kesimpulannya, pada bahagian ini lengkap menerangkan tentang ekologi dan pengekalannya.
Bahagian terakhir iaitu bahagian ketiga mempunyai tiga tajuk berkaitan biodiversiti. Pada bahagian terakhir ini merupakan bahagian yang sangat penting. Tiga tajuk terakhir ini menyentuh berkaitan pendekatan yang dilakukan untuk setiap masalah ekosistem yang berlaku. Pendekatan ini merangkumi pengekalan melalui daratan, akuatik serta termasuklah bagaimana mengekalkan biodiversiti melalui pendekatan spesies. Buku ini lengkap kerana ia menyentuh semua aspek untuk pemuliharaan ekosistem. Aspek tersebut termasuklah sains, ekonomi, kepercayaan, kekayaan alam semula jadi, politik. Kebaikannya, pembaca berpeluang untuk menganalisis sesuatu maklumat dalam setiap aspek dan tidak tertumpu kepada aspek pencemaran sahaja. Pembaca dapat melihat peluang-peluang yang ada bagi setiap pihak contohnya, masyarakat, peniaga, kerajaan dan dunia dalam membantu sama-sama merealisasikan setiap usaha yang dilakukan. Langkah pencegahan juga lebih luas dapat difikirkan oleh pembaca kerana contoh-contoh yang diberikan lengkap untuk semua aspek. Sebagai contoh, penulis mengetengahkan isu berkaitan kontroversi pengendalian kebakaran hutan yang berlaku di Amerika Syarikat. Salah satu solusinya melibatkan peranan kerajaan untuk mewartakan undang-undang untuk menyekat serta mengawal pembakaran dan penebangan hutan daripada meningkat. Contoh lain yang melibatkan usaha penglibatan antara bangsa adalah bagi negara yang membangun boleh memberi dana kepada sesebuah negara untuk menjalankan projek yang melibbatkan pemeliharaan hutan tropikal mereka. Justeru, secara keseluruhan, penulis mengajak pembaca untuk berfikir dan memanfaatkan setiap peluang yang ada untuk digunakan dengan sebaiknya.
Kesimpulannya, tiga bahagian utama dapat di susun dengan baik sekali yang dapat membantu pembaca memahami secara keseluruhan tentang alam sekitar iaitu punca yang membawa kepada masalah, kesannya serta penyelesaiannya. Persembahan buku ini dengan adanya glosari, soalan tambahan, kajian kes, ilustrasi menarik dan maklumat tambahan dalam Supplement menjadikan buku ini menraik untuk dibaca dan dijadikan rujukan.
Ulasan Oleh : Nur Fadhilah binti Satiman
4 PISMP SN