top of page

Essentials of Conservation Biology


Buku Essentials of Conservation Biology ditulis oleh Richard B. Primack merupakan buku secara umumnya membincangkan mengenai kepentingan pemuliharaan terhadap kelangsungan spesies biologi. Pada muka surat buku yang paling akhir, pembaca dapat mengetahui serba sedikit mengenai penulis buku ini di bahagian ‘About The Author’. Richard B. Primack merupakan seorang profesor Ekologi Tumbuhan di Boston University. Antara sejarah pendidikan beliau adalah beliau memperolehi Ijazah Pertama beliau di Harvard University pada tahun 1972 dan melanjutkan pelajaran hingga ke peringkat Ph.D di Duke University pada tahun 1976. Bidang kajian beliau tertumpu pada bidang pemuliharaan spesies tumbuhan yang jarang ditemui di Massachusetts dan juga bidang ekologi komuniti tumbuhan di Malaysia. Beliau melibatkan diri secara aktif dalam pemuliharaan dan isu polisi yang berkaitan dengan hutan hujan tropika di Malaysia, India dan Amerika Tengah. Beliau merupakan editor review buku untuk journal ‘Conservation Biology’. Selain itu, beliau juga aktif dalam Tropical Forest Foundation dan Tropical Ecosystem Directorate di U.S Man dan Biosphere Program.

Pertama sekali, pembaca akan tertarik dengan muka depan buku. Buku ini menggunakan kertas keras sebagai kulit buku dan menjamin ketahanan buku tersebut daripada mudah rosak. Muka depan buku menunjukkan ilustrasi dua spesies burung American crane iaitu Grus americana dan Grus canadiensis dimana dalam kelompok Grus canasiensis yang berwarna kelabu terdapat seekor Grus americana yang bewrna putih. Ilustrasi tersebut menimbulkan perasaan ingin tahu pembaca mengenai perkaitan ilustrasi dengan tajuk yang dipaparkan. Pembaca boleh terus merujuk penerangan mengenai ilustrasi muka depan tersebut pada muka surat pertama. Apabila tanda soal sudah dapat dijawab, hal ini dapat menimbulkan minat pembaca untuk terus mendalami topik yang dipersembahkan. Ilustrasi dua spesies burung American crane ini juga bijak menggambarkan nisbah dua spesies burung yang berbeza ini di mana jumlah populasi spesies American crane putih ini hanya 155 ekor berbanding American crane kelabu yang dianggarkan berjumlah 500,000 ekor. Dua spesies burung ini merupakan spesies yang berkait rapat antara satu sama lain dan kedua-duanya telah diancam kepupusan disebabkan oleh pencerobohan habitat mereka. Ilustrasi yang digunakan adalah tepat mengambarkan usaha para saintis dalam memulihkan semula biodiversiti spesies yang terancam. Seekor American crane putih membesar dalam kelompok American crane kelabu apabila saintis menempatkan telur American crane putih di dalam sarang burung American crane kelabu bagi tujuan meningkatkan populasi American crane putih.

Sasaran buku ini adalah lebih tertumpu kepada golongan yang mempunyai latar belakang sains dan juga mempunyai serba sedikit pengetahuan mengenai isu pemuliharaan. Buku ini menjadi buku teks serta rujukan utama kepada penuntut universiti yang mendalami bidang biologi pemuliharaan. Namun begitu, buku ini masih boleh dibaca oleh golongan yang tidak mempunyai latar belakang sains kerana perkataan yang digunakan mudah difahami dan penulis menerangkan sesuatu definisi secara terperinci. Penulis juga memulakan penulisan beliau dengan menerangkan dahulu maksud biologi pemuliharaan serta kepelbagaian diverisiti sebelum menfokuskan perbincangan kepada isu pemuliharaan. Akan tetapi, pembaca yang tidak mempunyai asas sains dan biologi akan mengalami sedikit kesukaran untuk memahami sesetangah istilah biologi yang sukar seperti gen dan alel serta formula yang sukar. Contohnya empirikal formula yang digunakan untuk menentukan hubungan antara spesies dan kawasan, S = CA z. Penggunaan formula dan pengiraan yang rumit tersebut boleh menyebabkan pembaca dari golongan yang tidak mempunyai asas sains ini untuk hilang minat dan fokus mereka.

Antara keistimewaan buku ini adalah kotak pengetahuan yang dimasukkan di setiap topik. Ruang tersebut merupakan maklumat tambahan yang menarik berkait rapat dengan topik yang dibincangkan. Terdapat sebanyak 35 kotak pengetahuan disediakan di dalam buku ini. Kebanyakan perkara yang dibincangkan di dalam ruang tersebut adalah bukan perkara penting di dalam topik utama tetapi pembacaan yang lebih mengenai isu kontoversi, kajian kes dan contoh mendalam yang dibawakan di dalam kotak tersebut dapat menambahkan pengetahuan sedia ada pembaca dan memudahkan pembaca untuk memahami isi kandungan yang cuba disampaikan. Contohnya, di bawah topik Memperkenalkan Populasi Baru, terdapat satu kotak pengetahuan yang membincangkan mengenai spesies rubah seperti California condor yang cuba diperkenalkan semula di Yellowstone National Park bagi mengembalikan semula keseimbangan biodiversiti di negara itu. Pembacaan mengenai spesies rubah tersebut meningkatkan pengetahuan dan kefahaman pembaca mengenai tujuan dan objektif pengenalan populasi baru.

Tambahan pula, ilustrasi gambar, rajah dan jadual yang digunakan juga besar dan jelas. Bagi ilustrasi gambar, sekurang-kurangnya hanya tiga keping gambar yang dimuatkan pada satu muka surat. Kebanyakannya, satu gambar dipaparkan pada satu muka surat sahaja. Di bawah ilustrasi gambar atau rajah, terdapat penerangan yang tepat mengenai gambar tersebut. Di dalam penerangan fakta juga telah dinyatakan rajah atau jadual manakah yang perlu dirujuk. Hal ini memudahkan para pembaca mengaitkan terus fakta atau isi pengetahuan yang dibaca dengan bantuan rajah dan gambar bagi memperjelaskan lagi penulisan yang dibaca. Jadual yang membandingkan dua situasi juga diletakkan berhampiran antara satu sama lain. Langkah ini bertujuan memudahkan pembaca membuat perbandingan serta mencari perkaitan dan perbezaan dua situasi tersebut. Contohnya, penulis membandingkan populasi spesies yang sama tetapi berada di habitat yang berbeza dengan meletakkan jadual atau graf berdekatan antara satu sama lain tetapi dengan menggunakan gradien yang berbeza untuk menunjukkan secara jelas perbezaan dua habitat tersebut. Selain itu, font perkataan yang digunakan juga besar dan jelas. Hal ini memberikan kemudahan kepada pembaca untuk membaca setiap perkataan dengan jelas. Penulis juga menggunakan pelbagai font tulisan dan menggunakan aplikasi bold dan italic untuk membezakan antara tajuk utama, topik berkaitan, fakta, huraian beserta contoh yang diberikan. Hal ini memudahkan pembaca memahami isi kandungan yang ingin dibincangkan serta mengambil nota-nota penting sepanjang pembacaan.

Kelebihan lain buku ini ialah pada akhir pembacaan, penulis memudahkan pembaca dengan menyertakan ringkasan untuk setiap topik kecil. Penulis meringkaskan isi kandungan utama setiap topik dengan menyatakan fokus utama dan fakta penting sahaja di dalam ringkasan tersebut. Ringkasan yang diberikan memudahkan pembaca untuk merujuk semula isi kandungan utama dan mengelakkan kekeliruan dan kecelaruan antara isi utama dengan huraian beserta contoh yang diterangkan dengan panjang lebar di dalam perbincangan. Dengan itu, pembaca dapat memudahkan penyimpanan memori dengan fakta yang ringkas dan padat. Selain itu, bagi mengukuhkan pengetahuan serta memberikan panduan untuk pembacaan yang lebih mendalam, penulis juga menyelitkan cadangan pembacaan lanjut selepas ringkasan setiap topik. Penulis mengemukakan judul buku, penulis, tahun diterbitkan, topik pembacaan beserta muka surat yang berkaitan. Initiatif penulis memudahkan pembaca membuat rujukan yang lebih dan menerokai topik perbincangan secara lebih mendalam. Pembacaan pembaca bukan hanya terhad kepada buku ini semata-mata, tetapi diperkukuhkan lagi dengan penilitian lanjut dengan rujukan daripada buku-buku serta artikel yang dicadangkan. Di samping itu, penulis juga menyatakan organisasi persekitaran dan sumber maklumat pada ruangan apendiks. Pembaca boleh membuat rujukan lebih lanjut dengan melawati atau menghubungi sendiri organisasi-organisasi yang telah dinyatakan. Ruang indeks pada muka 15 muka surat terakhir juga dapat membantu pembaca untuk mencari fakta tertentu dengan lebih mudah dan cepat. Indeks ini memberikan panduan kepada pembaca dengan menyertakan muka surat yang ada menyatakan fakta yang dicari. Tambahan pula, header pada setiap muka surat memberikan panduan kepada pembaca mengenai tajuk topik yang sedang dibaca supaya pembaca akan sentiasa peka dengan perkaitan isi yang dibaca dengan tajuk utama topik.

Kesimpulannya, buku ini sangat sesuai untuk pembaca yang ingin mendalami ilmu biologi pemuliharaan yang berkaitan dengan kepentingan memelihara dan memulihara kepelbagaian hidupan. Ciri-ciri yang ada pada buku ini mampu manarik minat pembaca dan pendekatan dan kaedah yang digunakan oleh penulis memberikan kemudahan kepada pembaca untuk mengikuti setiap perbincangan di dalam buku ini. Buku ini mampu memberikan kesedaran kepada pembaca mengenai kepentingan pemuliharaan terhadap kelangsungan spesies. Buku ini juga berjaya menyentuh setiap topik pemuliharaan dengan jelas dan meningkatkan pengetahuan sedia ada pembaca dengan fakta-fakta menarik yang dipaparkan. Akhir sekali, pembaca tidak akan berasa rugi untuk mendalami ilmu pemuliharaan ini kerana setiap daripada kita bertanggungjawab dengan keadaan sekeliling kita dan buku ini bermanfaat membantu kita menjadi rakyat yang peka dengan alam sekelilingya.

Ulasan Oleh : Nor Izzati Binti Mohamad

4 PISMP Sains

Featured Posts
Recent Posts
Archive
Search By Tags
No tags yet.
Follow Us
  • Facebook Basic Square
  • Twitter Basic Square
  • Google+ Basic Square
bottom of page