top of page

ELEMEN KBAT DALAM KURIKULUM


Tajuk Buku: Elemen KBAT Dalam Kurikulum

Pengarang : Bahagian Pembangunan Kurikulum

Tahun Terbitan : 2014

No Panggilan: 68706

Bil ms buku : 15 muka surat

Buku ini memberi penekanan terhadap penerapan elemen Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dalam Kurikulum. Kandungan yang diberi penekanan ialah berkaitan dengan pendahuluan yang menyentuh berkaitan dengan apa yang didefinisikan sebagai kurikulum di Malaysia iaitu kurikulum di Malaysia dilaksanakan melalui kurikulum kebangsaan yang telah dikanunkan mengikut akta pendidikan 1996. Kurikulum Pendidikan Malaysia di gubal bagi mencapai penghasilan pembelajaran yang dihasratkan dalam Falsafah Pendidikan Negara.

Aspek ke dua yang di beri penekanan ialah berkaitan dengan matlamat kurikulum iatu untuk melahirkan murid yang seimbang, berdaya tahan, bersifat ingin tahu, berprinsip, bermaklumat dan patriotik serta mempunyai kemahiran berfikir, berkomunikasi dan berkerja secara berpasukan. Matlamat kurikulum perlu di tulis dalam kandungan buku ini kerana salah satu matlamat kurikulum pendidikan Malaysia ialah menghasilkan pelajar yang mempunyai kemahiran berfikir yang tentunya wujud elemen KBAT di dalamnya.

Selain itu buku ini juga memberi penekanan terhadap tiga aspek penting yang perlu ada dalam KBAT iaitu:

  1. Mengaplikasikan domain pengetahuan, kemahiran dan nilai.

Keupayaan mengaplikasikandomain pengetahuan, kemahiran dan nilai bermaksud berupaya menggunakan pengetahuan, kemahiran dan nilai yang dikuasai melalui proses PdP dengan mencapai tahap penguasaan yang ditetapkan dalam dokumen kurikulum bagi setiap mata pelajaran. Penguasaan ini berbeza bagi peringkat persekolahan sesuai dengan keupayaan dan kebolehan murid. Mengaplikasi kesemua domain ini menjadikan perkembangan murid holistik, seimbang dan bersifat insaniah.

  1. Membuat penaakulan dan refleksi

Membuat penaakulan adalah kebolehan individu membuat pertimbangan secara logik dan rasional. Refleksi pula adalah mengimbas kembali dan mentafsir sesuatu perkara melalui pengalaman, tindakan, perasaan dan maklumbalas, seterusnya menganalisis dan mencerakin dalam membuat kesimpulan.

  1. Menyelesaikan masalah, membuat keputusan, berinovasi dan berupaya mencipta sesuatu.

Kebolehan menyelesai masalah, membuat keputusan, berinovasi dan berupaya mencipta sesuatu adalah hasil daripada keupayaan mengaplikasi pengetahuan, kemahiran dan nilai, serta membuat penaakulan dan refleksi. Murid boleh menyelesaikan masalah, membuat keputusan yang tepat dan bijaksana, menghasilkan sesuatu berinovasi dan bermanfaat serta mampu mencipta sesuatu yang baharu dalam apa jua bentuk apabila mengalami proses pembelajaran.

Ketiga-tiga aspek yang perlu ada dalam KBAT kalau diperhatikan dari penggunaan kata kerja yang digunakan juga memang menggambarkan elemen KBAT telah diterapkan dalam aspek-aspek tersebut. Melalui proses PdP aspek pengaplikasian domain pengetahuan, kemahiran dan nilai sememangnya perlu diterapkan. Semasa PdPguru sememangnya telah mengaplikasikan domain pengetahuan kepada murid-murid bagi semua mata pelajaran yang diajar, contohnya bagi tajuk Ruang dalam matematik guru telah mengaplikasikan pengetahuan berkaitan mencari luas bagi bentuk-bentuk segi empat tepat, segi empat sama dan segi tiga. Kemahiran yang murid perolehi ialah mencari dan menentukan luas menggunakan petak segi empat sama dan rumus. Pengaplikasian nilai pula diterapkan melalui ketepatan dan ketelitian semasa mengukur luas. Seterusnya murid dapat mengaplikasikannya dalam kehidupan harian dengan mencari dan menentukan luas bilik, padang bola dan lain-lain lagi.

Melalui aktiviti yang dilakukan murid telah melakukan proses penaakulan iaitu wujudnya kemahiran berfikir dan akhirnya murid boleh membuat kesimpulan berdasarkan aktiviti yang dilakukan itu.

Menyelesaikan masalah, membuat keputusan, berinovasi dan berupaya mencipta sesuatu merupakan aspek penting yang perlu ada KBAT. Dalam PdP guru sememangnya ada menekankan kemahiran-kemahiran untuk menyelesaikan masalah membuat keputusan, melakukan inovasi, mencipta bahan-bahan, penaakulan dan refleksi. Aspek ini boleh wujud dan dilaksanakan oleh guru dalam pelbagai bentuk seperti soalan yang dikemukakan oleh guru dan aktiviti yang dijalankan.

Seterusnya kandungan yang disentuh dalam buku ini ialah bagaimana untuk mengenal pasti KBAT dalam dokumen kurikulum. Pernyataan KBAT dalam dokumen kurikulum telah ditulis secara eksplisit bagi semua mata pelajaran KSSR.

Contoh : a. Mata pelajaran : Matematik

Tahun : Tahun 5.

Standard kandungan : 10.7 Penyelesaian masalah melibatkan wang Standard pembelajaran :

i. Menyelesaikan masalah harian termasuk menggunakan pelbagai instrumen pembayaran melibatkan penambahan, penolakan, pendaraban, pembahagian, gabungan operasi tambah dan tolak, gabungan operasi darab dan bahagi nilai wang

Tahap pemikiran yang wujud ialah tahap pemikiran menilai

b. Mata pelajaran : Matematik

Tahun : Tahun 5.

Standard pembelajaran :

ii. Merancang bajet harian, mingguan dan bulanan bagi mencapai matlamat kewangan jangka pendek

Tahap pemikiran yang wujud ialah Tahap pemikiran mencipta

Oleh itu guru perlu meneliti dokumen kurikulum bagi mata pelajaran KSSR yang diajar kerana standard kandungan dan standard pembelajaran telah ditulis secara eksplisit.

Seterusnya buku ini telah mengupas berkaitan penggunaan kata kerja yang sesuai dengan penggunaan elemen KBAT. Dalam aras Taksonomi Bloom aras aplikasi, aras analisis, aras menilai dan aras mencipta boleh dikategorikan sebagai KBAT. Contoh kata kerja yang digunakan dalam tahap pemikiran mengaplikasi ialah membina, melakar dan melukis. Bagi tahap pemikiran menganalisis kata kerja yang digunakan ialah mengesan, membanding, menguji dan memaparkan. Seterusnya tahap pemikiran menilai, kata kerja yang digunakan ialah menilai, menyokong, mengesahkan dan mempertahankan. Manakala bagi tahap pemikiran mencipta kata kerja yang digunakan ialah mereka cipta, menaiktaraf dan mereka bentuk.

Akhir sekali dalam penutup buku ini menekankan kepada kefahaman guru perlu jelas dalam KBAT kerana gurulah yang bertanggungjawab untuk menterjemahkan dokumen kurikulum dengan menggunakan kata kerja yang tepat. Penulisan elemen KBAT ditulis secara eksplisit. Harapan negara guru merupakan golongan yang bertanggungjawab untuk merealisasikan elemen KBAT dalam kurikulum pendidikan di Malaysia melalui pengaplikasian segala bentuk aktiviti PdP yang mencabar minda murid-murid.

Nama Pengulas : Hilezan binti Zainal

Jabatan : Jabatan Matematik Institut Pendidikan Guru

Kampus Pendidikan Teknik, Bandar ENSTEK

Featured Posts
Recent Posts
Archive
Search By Tags
No tags yet.
Follow Us
  • Facebook Basic Square
  • Twitter Basic Square
  • Google+ Basic Square
bottom of page