top of page

BACAAN SOLAT-ULASAN BUKU OLEH MUHAMMAD SHAFIQ BIN ALI, 2 PPISMP SAINS, IPG KAMPUS PENDIDIKAN TEKNIK


solat.jpg

Hasnan Kasan

Mari Memahami & Menghayati Bacaan Solat

Penerbit Sinar Tenggara Sdn Bhd

ISBN: 978-983-44925-2-6

Buku yang bertajuk Mari Memahami & Menghayati Bacaan Solat yang ditulis oleh Dr. Hasnan Kasan merupakan Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Umum Universiti Kebangsaan Malaysia. Buku ini membincangkan secara terperinci mengenai asas-asas dalam mendirikan solat, ianya merangkumi perincian, ketelitian, dan maksud bagi setiap bacaan di dalam solat. Buku ini mampu meningkatkan kefahaman kepada pembaca untuk menyingkap dan memahami maksud-maksud segala bacaan asas dalam mendirikan ibadah tuntutan ini. Memahami pengertian dan makna bacaan di dalam solat adalah penting bagi menjamin kesempurnaan dalam menunaikan ibadah ini, memahami makna dalam bacaan solat mampu menjana kemanisan dalam mengerjakan ibadah solat dan memupuk jiwa solat dalam setiap muslim. Selain daripada itu, buku ini juga adalah naskhah yang amat sesuai untuk dijadikan satu bahan rujukan untuk program-program seperti Bestari Solat dan Smart Solat. Hal ini adalah amat penting dalam menjana kefahaman dalam diri pelajar dalam memahami intipati di dalam solat sejak dari awal peringkat persekolahan.

Pengenalan buku ini membincangkan secara am berkenaan dengan makna solat, sepertimana penulis menerangkan bahawa solat menurut Bahasa Arab bermakna doa atau permintaan daripada manusia kepada Allah. Manakala solat menurut istilah fiqah pula ialah beberapa perbuatan dan perkataan yang dimulakan dengan takbiratulihram dan disudahi dengan salam, ditunaikan dalam waktu yang ditetapkan dan menurut cara yang telah ditetapkan oleh syarak. Perbincangan seterusnya pada Bab I iaitu Hukum Solat yang menerangkan segala macam perkara yang berkaitan dengan solat seperti Keistimewaan Solat, Hukum Orang Yang Meninggalkan Solat, Balasan Orang Yang Meninggalkan Solat Selepas Mati, Kedudukan Solat Dalam Kehidupan, Enam Kunci Khusyuk Dalam Solat dan Faktor-faktor Penting Yang Membawa Kepada Khusyuk Dalam Solat. Bab II pula membincangkan berkenaan Memahami Bacaan Solat iaitu Doa Iftitah, Al-Fatihah, Tasbih Ketika Rukuk, Tahmid Ketika Iktidal, Tasbih Ketika Sujud, Doa Ketika Duduk Antara Dua Sujud, Doa Tasyahud/Tahiyyat, Doa Penutup Solat Sebelum Salam dan akhir sekali iaitu Salam. Manakala Bab III iaitu Kesan Solat Terhadap Pembentukan Sahsiah yang Membincangkan Kesan Solat Yang Ditunaikan Dengan Sempurna Zahir Dan Batin iaitu Menghapuskan Segala Dosa, Mendidik Anggota Mempraktikkan Akhlak Mulia Dan Menghalang Daripada Melakukan Perbuatan Keji Dan Mungkar, Beroleh Ketenangan Dan Kerehatan, Membangkitkan Semangat Melakukan Kerja Kebaikan Terutama Kewajipan, Berhati-Hati Dalam Tindak Tanduk Seharian Dan Merasai Muraqabatullah, Mendapat Petunjuk Allah Dalam Menentukan Hala Tuju Hidup Dalam Segala Aktiviti Yang Dilakukan, Mengukuhkan Kesabaran Dan Keupayaan Menghadapai Cabaran, dan Memperkukuhkan Tali Persaudaraan Dan Pepaduan.

Untuk pengetahuan, solat adalah tiang agama. Sesiapa yang mendirikannya dengan sempurna bermakna dia telah mendirikan agama dengan teguh dan sesiapa yang meninggalkannya bermakna dia telah meruntuhkan agama. Solat juga adalah intipati perjanjian antara Allah dan hambaNya. Sesiapa yang meninggalkan solat maka bermakna dia telah memutuskan janji dan ikatannya dengan Allah.

Sebagai rumusannya, buku ini adalah buku yang amat bermanfaat dan berguna sebagai teks asas untuk pembaca meningkatkan kefahaman mengenai topik khusyuk dalam solat. Merujuk kepada penulis, buku ini bertujuan memberikan asas yang kukuh mengenai persoalan-persoalan mengenai khusyuk dalam solat dan faktor-faktor yang mempengaruhinya. Adalah diharapkan bagi sesiapa sahaja yang membaca buku ini akan dapat menyedari dan memahami betapa penting khusyuk dalam solat agar ibadah yang didirikan diterima Allah dan mendapat keberkatan daripadaNya.

Featured Posts
Recent Posts
Archive
Search By Tags
No tags yet.
Follow Us
  • Facebook Basic Square
  • Twitter Basic Square
  • Google+ Basic Square
bottom of page