Umar Abdul Aziz Bayangan Khalifah al Rasyidin - Ulasan oleh Fadhli Hamdan
Umar Abdul Aziz
Bayangan Khalifah al Rasyidin
ISBN: 978-983-3892-52-5
Buku yang berjudul Umar Abdul Aziz ini merupakan sebuah novel sejarah islam yang ditulis oleh penulis novel sejarah iaitu Abdul Latip Talib yang merupakan seorang penulis kelahiran Negeri Sembilan. Buku yang ditulis ini menceritakan tentang kisah seorang khalifah islam pada zaman bani Umaiyyah iaitu Khalifah Umar bin Abdul Aziz atau nama sebenarnya Abu Jaafar Umar bin Abdul Aziz bin Marwan bin Hakam bin Ash bin Umaiyyah bin Abdi Syams. Umar Abdul Aziz dilahirkan di Halwan pada tahun 61H/683M. Namun, ada yang mengatakan beliau lahir pada tahun 63H/684M di kota Madinah ketika tentera Yazid bin Muawiyah dari Damsyik menyerang kota itu.
Buku ini sangat sesuai bagi penggemar novel sejarah lebih-lebih lagi sejarah islam kerana ianya menceritakan dengan terperinci kehidupan Khalifah Umar Abdul Aziz sejak dari kecil hinggalah beliau meninggal dunia. Novel ini juga sesuai untuk bacaan umum kerana ianya amat bermanfaat serta memberi pedoman dan pengajaran kepada seluruh manusia terutamanya dalam memilih pemimpin yang adil. Pembaca juga dapat mencontohi sikap Khalifah Umar Abdul Aziz yang warak serta rendah diri dan tidak mementingkan harta dunia. Novel ini seharusnya lebih terperinci dari segi masa suatu peristiwa itu berlaku kerana terdapat beberapa pendapat yang berbeza tentang suatu peristiwa. Namun, pendapat-pendapat tersebut telah dijelaskan supaya dapat mengelakkan kekeliruan oleh pembaca. Akhir sekali, novel ini sangat informatif dan menceritakan suatu yang menarik tentang seorang Khalifah ulung iaitu Khalifah Umar Abdul Aziz yang dianggap sebagai ‘Bayangan Khalifah al-Rasyidin’.
Khalifah Umar Abdul Aziz daripada keluarga bangsawan Bani Umaiyyah pada sebelah bapanya dan merupakan cucu kepada Khalifah Umar al Khattab daripada pihak ibunya. Beliau menghafaz al-Quran sejak berumur 15 tahun. Kemudian berguru dengan beberapa orang ulama di Madinah antaranya Imam Anas bin Malik, Urwah bin Zubair, Abdullah bin Jaafar dan ramai lagi. Sejak kecil lagi beliau kerap berguru dengan ramai ulama ketika berada di bawah jagaan datuknya. Umar Abdul Aziz hidup dalam kemewahan ketika kecil kerana ayahnya seorang gabenor dari kalangan Bani Umaiyyah. Apabila Umar Abdul Aziz dewasa, beliau kerapkali dilantik sebagai gabenor/menteri di beberapa kawasan dan akhirnya dilantik sebagai khalifah bagi menggantikan Khalifah Sulaiman atas wasiatnya ketika beliau jatuh sakit. Ketika menjadi khalifah, Umar Abdul Aziz sangat disukai ramai kerana mempunyai keperibadian yang tinggi serta seorang pemimpin yang warak dan adil. Keperibadian itu diwarisi daripada moyangnya, Khalifah Umar al-Khattab. Selain itu, beliau sangat berhati-hati dengan harta terutamanya yang melibatkan harta rakyat sehinggakan kesemua harta beliau serta harta-harta isteri beliau diserahkan kepada Baitulmal kerana kebanyakan harta-harta tersebut datang daripada hasil rampasan harta rakyat yang ditindas ketika pemerintahan keluarga Bani Umaiyyah. Pemerintahan beliau sebagai Khalifah sangat memberi kesan yang positif dari segi ekonomi, sosial dan sistem pemerintahan yang berkesan. Oleh itu, tiada masalah kewangan yang timbul ketika pemerintahan beliau. Buktinya, kesemua rakyat hidup dalam keadaan yang senang sehinggakan tiada sesiapapun yang pada ketika itu layak menerima zakat. Tambahan lagi zakat tersebut tidak dapat diagihkan walaupun jauh ke kawasan Afrika Utara kerana rakyat telah hidup dalam kesenangan. Selain itu, Khalifah Umar Abdul Aziz sangat mementingkan solat dimana beliau telah memerintahkan semua rakyatnya termasuklah tentera-tentera serta banduan-banduan di penjara untuk menunaikan solat lima waktu sehari semalam. Kesannya, rakyat hidup dalam keadaan aman sehinggakan seorang wanita yang berjalan berseorangan pun selamat tanpa jangguan. Keluarga Bani Umaiyyah merancang untuk membunuh Khalifah Umar Abdul Aziz dimana perancangan itu diketuai oleh Umar al-Walid yang sangat tidak berpuas hati dengan Khalifah Umar Abdul Aziz. Mereka dengan niat yang jahat telah merancang untuk merancuni Umar Abdul Aziz dengan mengupah seseorang untuk meletakkan racun ke dalam makanan Khalifah Umar Abdul Aziz. Maisarah iaitu seorang hamba kepada Khalifah Umar Abdul Aziz telah menolak tawaran yang diberikan oleh keluarga Bani Umaiyyah untuk meracuni Khalifah Umar oleh kerana ketakwaannya yang tinggi. Akibatnya, Maisarah telah dibunuh oleh mereka dan diheret ke padang pasir. Kehilangan Maisarah menjadi tanda Tanya yang tidak diketahui dan menjadi misteri. Namun, keluarga Bani Umaiyyah telah berjaya memujuk Dirhan iaitu pembantu Khalifah Umar Abdul Aziz dengan upah sebanyak seribu dinar untuk meracuni Khalifah Umar. Walaupun Dirhan tertangkap atas perbuatannya itu, Khalifah Umar Abdul Aziz membebaskanya kerana bercakap benar. Dirhan sangat kesal atas perbuatannya itu. Setelah Khalifah Umar Abdul Aziz meninggal dunia, ramai yang merasai kesedihan itu. Sepanjang beliau menjadi khalifah, telah banyak usaha yang telah dilakukan termasuklah usaha mengumpul hadith rasulullah dan usaha itu diteruskan oleh Imam Bukhari, Imam Muslim dan lain-lain.